Peguam Negara digesa menjalankan siasatan
secara adil dan menyeluruh terhadap dakwaan berlakunya perlanggaran
dalam National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp).
Pengerusi NFCorp Datuk Seri Dr Mohd Salleh Ismail berkata siasatan
juga perlu dibuat tanpa dipengaruhi hujah-hujah politik pembangkang.
"Kami menggesa Peguam Negara untuk bertindak adil dan tidak
terpengaruh dengan hujah-hujah politik pembangkang, serta menjalankan
penyiasatan berdasarkan fakta-fakta yang telah diusulkan oleh Ketua
Audit negara di dalam Laporan 2010 beliau," katanya menerusi satu
kenyataan media.
Kenyataan dibuat selepas Laporan Ketua Audit Negara 2011 berkaitan
NFCorp yang menyatakan bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Asas
Tani, Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji
kemungkinan untuk mengambil tindakan sivil terhadap NFCorp.
Dr Mohd salleh turut meminta Peguam Negara menjalankan siasatan
terhadap perlanggaran pertama yang didakwa dilakukan oleh Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani selepas penangguhan dilakukan terhadap
pembinaan Pusat Penyembelihan Berkualiti Eksport (Export Quality
Abattoir - EQA) yang mampu menyembelih 350 ekor lembu sehari.
"Penangguhan ini telah memberi impak terhadap jumlah pengeluaran
daging lembu, penangguhan terhadap pembinaan kemudahan-kemudahan
berkaitan seperti kilang makanan ternakan dan loji bio gas," katanya.
Beliau berkata penangguhan terhadap Entrepreneur Development
Programme (EDP) juga memberi kesan kerana ia turut bergantung kepada
EQA.
Menurut laporan audit negara, kerajaan sedang menimbangkan untuk
mengambil tindakan undang-undang terhadap NFCorp untuk mendapatkan
kembali pinjaman mudah bernilai RM250 juta yang diberikan kepada
syarikat tersebut.
Selain itu, projek tersebut yang dijalankan di Gemas, Negeri Sembilan juga sedang dikaji semula oleh kerajaan.
Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur telah menetapkan 5 November ini sebagai
tarikh perbicaran terhadap Dr Mohamed Salleh yang didakwa atas empat
kesalahan rasuah melibatkan RM50 juta wang NFCorp.
No comments:
Post a Comment