ALOR SETAR 1 Feb. – Datuk Seri Azizan Abdul Razak ternyata tidak
gentar dengan kritikan sekutu Pas iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan
DAP mengenai tindakan beliau tidak mematuhi apa terkandung dalam Buku
Jingga yang dikeluarkan pakatan itu.
Ia terbukti apabila hari ini, Menteri Besar Kedah itu secara terbuka
berkata, pelaksanaan apa yang terkandung dalam buku itu yang juga
manifesto Pakatan Pembangkang bergantung kepada kesesuaian sesuatu
negeri.
Sehubungan itu beliau menegaskan, terdapat perkara-perkara dalam
buku manifesto berkenaan yang perlu ditangguh pelaksanaannya sehingga
suasana mengizinkan dengan mengambil kira keadaan politik dan masyarakat
setempat.
“Kita menghormati Buku Jingga tetapi ada benda-benda yang
kadang-kadang kita boleh guna sekarang dan yang tak boleh lagi sebab
setiap negeri itu ada masalah tertentu,” katanya kepada pemberita
selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darulaman di sini.
Sebelum ini Azizan dikritik oleh pemimpin kedua-dua parti itu kerana
didakwa tidak mematuhi apa yang terkandung dalam Buku Jingga berhubung
isu penggantungan lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN)
baru-baru ini.
Ia memandangkan mereka membuat tafsiran bahawa Azizan yang juga
Pengerusi KUIN mengambil tindakan berlandaskan Akta Universiti dan Kolej
Universiti (AUKU) manakala dalam Buku Jingga dicadang dimansuhkan jika
pembangkang memerintah negara.
Mengulas lanjut, Azizan berkata, tindakan tidak mematuhi sebahagian
kandungan Buku Jingga bukan bererti beliau menolak buku tersebut tetapi
berpendapat janji-janji dalam buku itu lebih sesuai dilaksanakan jika
pakatan pembangkang memerintah negara.
“Sebagai contoh, dalam al-Quran, hukum mencuri adalah potong tangan
tetapi terdapat juga kes pada zaman dahulu pencuri tak dipotong tangan
kerana tahun itu berlaku kebuluran, jadi maknanya tak melaksanakan hukum
itu bukan bererti menolak al-Quran tetapi mengambil kira suasana untuk
memberi keadilan,” jelasnya.
Justeru, beliau telah menghubungi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang dan pada masa sama akan menghantar pegawainya ke Kuala Lumpur
untuk menjelaskan isu penggantungan pelajar KUIN itu kepada Pas Pusat.
Sementara itu, kata Azizan, terserah kepada pucuk pimpinan Pas Pusat
sama ada memilih beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 atau
sebaliknya.
Pesuruhjaya Pas negeri itu berkata, jika Pas Pusat tidak mahu beliau
bertanding lagi menjadi calon pilihan raya maka beliau akan akur dan
berhenti daripada memegang jawatan.
“Itu hak Pas Pusat dan pemimpin di atas, kalau tak beri bertanding
maka saya berhenti tetapi selagi saya di sini maka saya buat kerja macam
biasa,” katanya.
Petikan : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment