Sejak isu NFC menjadi tajuk perbincangan umum, Datuk Seri Shahrizat
Abd Jalil seperti berada di atas bara api . Bukanlah pelik setiap kali
dia keluar rumah menghadiri majlis, orang melihatnya dengan dua
pandangan berbeza.
Satu pihak merasakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat itu harus mengambil tanggungjawab bersama kerana kes ini
membabitkan suaminya, pihak lain pula melihat kes ini sebagai tidak
perlu - mengapa ada double standard. Barangkali mereka ada sebab
tertentu mempertahankan Shahrizat dari terus dianiaya kerana berpendapat
NFC bukan syarikat milik peribadinya, tetapi milik suaminya, Datuk
Mohamed Salleh.
Persoalannya mengapa Shahrizat dikritik seteruk ini? Apakah kerana
dia berstatus menteri dia harus dipersalahkan berbanding mereka yang
bukan menteri ataupun mereka di dalam kelompok pembangkang?
Dilihat dari aspek ini dan kalau kita berfikiran rasional, maka
jemaah menteri yang bersidang dan membiarkan Menteri Pertanian
meluluskan projek NFC kepada suami menteri berkenaan juga harus
dipertanggungjawabkan. Bukankah ini yang harus dipersoalkan, bukan
mencari salah selepas projek itu mula menampakkan bibit-bibit kejayaan.
Mengapa setelah mengetahui NFC dimiliki suami menteri, jemaah menteri
tidak membatalkan saja keputusan yang dibuat di peringkat jawatankuasa
yang kita percaya menteri bertanggungjawab dalam hal ini mengetahuinya.
NFC adalah projek kerajaan untuk memastikan negara sebagai pengeluar
daging yang konsisten dan berkualiti tinggi. Ia bukanlah GLC tapi sebuah
syarikat swasta iaitu Agro Science Industries Sdn Bhd dipilih
menjalankan operasinya.
Atau dengan kata lain NFC diswastakan kepada syarikat milik suami
Shahrizat, itu yang kita semua faham. Kita juga boleh faham bahawa suami
Shahrizat melihat peluang perniagaan yang ada lalu mengambil peluang
menceburinya.
Pinjaman diberikan, RM250 juta adalah untuk memberi satu suntikan
baru kepada projek penternakan lembu daging di negara ini kepada
syarikat yang dipilih menjalankan NFC. Memang bagi Ketua Audit Negara
yang dalam laporan mendedahkan pinjaman RM250 juta kepada NFC dan
mendedahkan beberapa hal yang kini dipertikaikan.
Macam yang kita ketahui laporan audit harus dilihat dari banyak aspek
dan banyak syarikat kerajaan yang berdepan kritikan daripada Ketua
Audit Negara kerana “pengurusan kewangan” yang lemah. Bacalah laporan
dan saya percaya anda boleh tertawa melihat kelemahan yang dimaksudkan.
Tapi bukan ini yang mahu diperkatakan di sini kerana menjelang
beberapa tahun akan datang, NFC diharapkan dapat menjadi pengeluar
daging terbesar dan konsisten. Seperkara lagi, sasaran lembu pada 2010
oleh NFC menepati sasaran berbanding dengan kritikan dilemparkan
terhadap syarikat ini.
NFC bukanlah sebuah GLC, justeru ia tidak perlu diperlakukan atau
disemak akaun, malah penyata kira-kiranya sebagaimana kerajaan menerusi
Ketua Audit Negara menyemak atau mengesahkannya. Sebuah syarikat
sendirian berhad seperti ini bebas membuat apa keputusan dalam kerangka
Memorandum of Association sebagaimana telah ditetapkan dan tidak
bertindak secara ultra-vires dalam urus niaganya.
Maknanya kalau Memorandum mengatakan perniagaan utamanya ternakan
lembu dan pelaburan yang diluluskan oleh undang-undang sebagai
perniagaan sampingan, maka tentulah salah atau bersifat ultra-vires
kalau tiba-tiba syarikat milik suami Shahrizat memulakan perusahaan
menangkap ikan di laut dalam dan perniagaan insuran maritim sebagai
pelaburan sampingan.
Bagaimana mereka yang menimbulkan hal ini begitu pasti apa yang
dilakukan oleh syarikat ini salah dan wang digunakan untuk membeli kondo
dan membayar gaji pada kadar yang dikatakan itu adalah daripada
pinjaman RM250 juta dari kerajaan?
Bagaimanakah mereka, malah Ketua Audit Negara mempunyai akses kepada
akaun syarikat Agro, sedangkan ia adalah sebuah syarikat sendirian
berhad dan Ketua Audit tidak ada kuasa untuk mengaudit kira-kiranya, dan
Agro tidak perlu mengumumkan penyata kira-kiranya menurut Akta
Syarikat. Kalau semua orang boleh tengok akaun Agro, maka tak gunalah
syarikat itu diperbadankan sebagai sebuah syarikat sendirian berhad.
Sekiranya benar ada pihak yang mengetahui hal ini secara terperinci,
maka itu adalah satu kesalahan jenayah kerana mencuri maklumat syarikat
bertaraf sendirian berhad. Justeru, akhirnya kita terpaksa akur kepada
sifat semula jadi pembangkang suka menimbulkan isu walaupun ia bukanlah
satu isu.
Ingatlah perjanjian di antara Kerajaan Persekutuan dengan NFC dibuat
secara sah yang mengikat syarikat tersebut bukan sahaja membayar semula
hutangnya menurut jadual tetapi memastikan pengeluaran lembu juga
seperti yang dinyatakan.
Justeru sekiranya NFC membeli sebuah kondo pada harga RM100 juta
sekalipun, bukan sahaja tidak mengapa tetapi ia keputusan perniagaan
yang bijak.
Tanya sahaja kepada pakar hartanah di Kuala Lumpur (terutama di
Bangsar) dan mereka sedia menjelaskan bagaimana harga kondo mewah boleh
meningkat dalam masa cepat. Ini sudah tentulah lebih baik dari
memerapkan wang yang dipinjamkan oleh kerajaan di dalam akaun semasa NFC
atau melabur dalam simpanan tetap yang pulangannya tak seberapa.-Sinar
Harian
No comments:
Post a Comment