Saturday 8 December 2012

Najib mahu Tanjung Tokong jadi kubu kuat BN

Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kawasan Tanjung Tokong di sini akan menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Najib Tun Razak
Perdana Menteri berkata, bagi mencapai matlamat itu, beliau mengharapkan sokongan kuat daripada penduduk di kawasan itu terutama golongan belia yang dapat memainkan peranan secara lebih berkesan.
"Saya ingin bertanya, bolehkah saudara-saudara semua berjanji dengan saya supaya kita menjadikan kawasan ini sebagai kubu kuat BN," katanya ketika mengadakan pertemuan dengan Persatuan Belia Asas Bersatu Tanjong Tokong di sini sempena lawatan kerja sehari ke negeri itu pada 8 Disember.

Dalam pertemuan itu, kumpulan belia berkenaan yang diketuai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Tokong, Shaar Ismail berjanji akan berganding bahu dengan pihak kerajaan bagi menjayakan segala rancangan transformasi yang diilhamkan Najib.
Najib juga bersedia mempertimbangkan tuntutan penduduk Tanjung Tokong supaya mereka dapat menikmati kemudahan asas yang lebih baik.
Perdana Menteri berkata, ketika ini beberapa projek pembangunan seperti perumahan yang dibina telah siap dan kawasan itu juga sedang mengalami pembangunan yang hebat.
"Pada masa sama, saya berharap segala perancangan untuk membantu golongan belia di sini dapat dizahirkan dalam masa terdekat.
"Kerajaan sentiasa mendengar masalah yang dihadapi rakyat. Saya juga bersedia untuk membantu golongan belia di sini," ujarnya.
Perdana Menteri turut melawat Masjid Tuan Guru Tanjung Tokong dan beramah mesra dengan ahli jawatankuasa qariah masjid berkenaan.

No comments:

Post a Comment