Sunday 7 October 2012

Provokasi tidak bertamadun, pemimpin pembangkang mesti bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, mengingatkan semua terutama pemimpin pembangkang supaya bertanggungjawab terhadap generasi muda dan tidak membuat provokasi atau mengajar peradaban yang liar dan bukan menjadi naluri atau budaya rakyat Malaysia.
Beliau yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional Malaysia menyatakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib merupakan seorang pemimpin negara yang bertimbang rasa, berwibawa serta membawa kepimpinan demokratik untuk kebaikan semua.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat agar tidak melakukan sebarang aktiviti di luar batasan yang boleh menjejaskan wawasan dan visi beliau dalam mempertahankan demokrasi dan keamanan negara.
“Saya merasa amat kesal dengan tindakan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai badan bebas (civil society) yang tampil dengan perlakuan provokasi yang tidak bertamadun seperti ini”, katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini.
Tegas beliau lagi sebagaimana mereka menuntut Perdana Menteri untuk memikul tanggungjawab untuk segala hal berkaitan politik, maka pemimpin-pemimpin kumpulan ini juga seharusnya melakukan perkara yang sama dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang telah berlaku.

No comments:

Post a Comment