Sunday 7 October 2012

Usaha Kerajaan Banteras Rasuah Tunjuk Hasil Positif – TPM

Inisiatif utama dilaksanakan Malaysia bagi membanteras rasuah menunjukkan hasil positif dan ketara selain berkesan memenangi hati dan fikiran rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata tinjauan Transparency International pada 2011 menunjukan bahawa 49 peratus daripada rakyat Malaysia berpendapat usaha kerajaan memerangi rasuah adalah berkesan, berbanding hanya 29 peratus pada 2009.
“Saya yakin, jika diberikan masa, Malaysia akan berjaya dalam perang menentang rasuah, dan menambah baik persepsi awam terhadap usaha kerajaan mencegah rasuah,” katanya semasa berucap pada penutupan Mesyuarat Agung dan Persidangan Persatuan Pihak Berkuasa Anti-rasuah Antarabangsa (IAACA) ke-6 di Kuala Lumpur, hari ini.
Antara inisiatif dan perubahan diperkenalkan kerajaan ialah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, mahkamah khas rasuah, pelaksanaan Integrity Pact, ikrar Integriti Korporat dan pangkalan data ‘Name and Shame’.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, presiden IAACA Prof Cao Jianming, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Abu Kassim Mohammed.
Muhyiddin berkata kerajaan telah memperuntukkan RM276 juta dalam Belanjawan 2013 yang baru dibentangkan untuk SPRM melaksanakan tugasnya.
Beliau berkata rasuah adalah bencana global yang boleh merosakkan negara miskin atau kaya, menjejas komitmen untuk memelihara dan mengekalkan kemakmuran ekonomi dan sosial.
Oleh itu, Timbalan Perdana Menteri menggesa kerajaan negara-negara anggota IAACA agar terus bekerjasama terutama dalam memperkongsi pengalaman dan amalan terbaik bagi memudahkan pembinaan kapasiti lebih besar dalam usaha memerangi rasuah dengan lebih berkesan.
“Tentu sekali dalam dunia bersifat global ini kita tidak dapat memerangi rasuah cara bersendirian,” kata beliau.
Beliau berkata, pembangunan pesat teknologi dan komunikasi moden kini menyumbang kepada aktiviti rasuah yang lebih canggih.
Muhyiddin berkata kerjasama antarabangsa seperti itu adalah perlu demi mempertingkat keupayaan dan kemampuan badan anti-rasuah agar para pegawainya dilengkapi kemahiran, pengetahuan dan teknologi paling berkesan bagi menghapus rasuah.
Beliau mengambil perhatian bahawa Deklarasi Kuala Lumpur 27-Perkara yang diterima sebulat suara oleh peserta persidangan merupakan pencapaian penting dalam usaha bersama menangani ancaman rasuah.

No comments:

Post a Comment