Monday 13 February 2012

NFC:Mengapa Shahrizat Pula Jadi Mangsa? -SINAR HARIAN 4 JANUARI 2012

Sejak isu NFC menjadi tajuk perbincangan umum, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil seperti berada di atas bara api . Bukanlah pelik setiap kali dia keluar rumah menghadiri majlis, orang melihatnya dengan dua pandangan berbeza.
Satu pihak merasakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu harus mengambil tanggungjawab bersama kerana kes ini membabitkan suaminya, pihak lain pula melihat kes ini sebagai tidak perlu - mengapa ada double standard. Barangkali mereka ada sebab tertentu mempertahankan Shahrizat dari terus dianiaya kerana berpendapat NFC bukan syarikat milik peribadinya, tetapi milik suaminya, Datuk Mohamed Salleh.
Persoalannya mengapa Shahrizat dikritik seteruk ini? Apakah kerana dia berstatus menteri dia harus dipersalahkan berbanding mereka yang bukan menteri ataupun mereka di dalam kelompok pembangkang?
Dilihat dari aspek ini dan kalau kita berfikiran rasional, maka jemaah menteri yang bersidang dan membiarkan Menteri Pertanian meluluskan projek NFC kepada suami menteri berkenaan juga harus dipertanggungjawabkan. Bukankah ini yang harus dipersoalkan, bukan mencari salah selepas projek itu mula menampakkan bibit-bibit kejayaan.
Mengapa setelah mengetahui NFC dimiliki suami menteri, jemaah menteri tidak membatalkan saja keputusan yang dibuat di peringkat jawatankuasa yang kita percaya menteri bertanggungjawab dalam hal ini mengetahuinya.
NFC adalah projek kerajaan untuk memastikan negara sebagai pengeluar daging yang konsisten dan berkualiti tinggi. Ia bukanlah GLC tapi sebuah syarikat swasta iaitu Agro Science Industries Sdn Bhd dipilih menjalankan operasinya.
Atau dengan kata lain NFC diswastakan kepada syarikat milik suami Shahrizat, itu yang kita semua faham. Kita juga boleh faham bahawa suami Shahrizat melihat peluang perniagaan yang ada lalu mengambil peluang menceburinya.
Pinjaman diberikan, RM250 juta adalah untuk memberi satu suntikan baru kepada projek penternakan lembu daging di negara ini kepada syarikat yang dipilih menjalankan NFC. Memang bagi Ketua Audit Negara yang dalam laporan mendedahkan pinjaman RM250 juta kepada NFC dan mendedahkan beberapa hal yang kini dipertikaikan.
Macam yang kita ketahui laporan audit harus dilihat dari banyak aspek dan banyak syarikat kerajaan yang berdepan kritikan daripada Ketua Audit Negara kerana “pengurusan kewangan” yang lemah. Bacalah laporan dan saya percaya anda boleh tertawa melihat kelemahan yang dimaksudkan.
Tapi bukan ini yang mahu diperkatakan di sini kerana menjelang beberapa tahun akan datang, NFC diharapkan dapat menjadi pengeluar daging terbesar dan konsisten. Seperkara lagi, sasaran lembu pada 2010 oleh NFC menepati sasaran berbanding dengan kritikan dilemparkan terhadap syarikat ini.
NFC bukanlah sebuah GLC, justeru ia tidak perlu diperlakukan atau disemak akaun, malah penyata kira-kiranya sebagaimana kerajaan menerusi Ketua Audit Negara menyemak atau mengesahkannya. Sebuah syarikat sendirian berhad seperti ini bebas membuat apa keputusan dalam kerangka Memorandum of Association sebagaimana telah ditetapkan dan tidak bertindak secara ultra-vires dalam urus niaganya.
Maknanya kalau Memorandum mengatakan perniagaan utamanya ternakan lembu dan pelaburan yang diluluskan oleh undang-undang sebagai perniagaan sampingan, maka tentulah salah atau bersifat ultra-vires kalau tiba-tiba syarikat milik suami Shahrizat memulakan perusahaan menangkap ikan di laut dalam dan perniagaan insuran maritim sebagai pelaburan sampingan.
Bagaimana mereka yang menimbulkan hal ini begitu pasti apa yang dilakukan oleh syarikat ini salah dan wang digunakan untuk membeli kondo dan membayar gaji pada kadar yang dikatakan itu adalah daripada pinjaman RM250 juta dari kerajaan?
Bagaimanakah mereka, malah Ketua Audit Negara mempunyai akses kepada akaun syarikat Agro, sedangkan ia adalah sebuah syarikat sendirian berhad dan Ketua Audit tidak ada kuasa untuk mengaudit kira-kiranya, dan Agro tidak perlu mengumumkan penyata kira-kiranya menurut Akta Syarikat. Kalau semua orang boleh tengok akaun Agro, maka tak gunalah syarikat itu diperbadankan sebagai sebuah syarikat sendirian berhad.
Sekiranya benar ada pihak yang mengetahui hal ini secara terperinci, maka itu adalah satu kesalahan jenayah kerana mencuri maklumat syarikat bertaraf sendirian berhad. Justeru, akhirnya kita terpaksa akur kepada sifat semula jadi pembangkang suka menimbulkan isu walaupun ia bukanlah satu isu.
Ingatlah perjanjian di antara Kerajaan Persekutuan dengan NFC dibuat secara sah yang mengikat syarikat tersebut bukan sahaja membayar semula hutangnya menurut jadual tetapi memastikan pengeluaran lembu juga seperti yang dinyatakan.
Justeru sekiranya NFC membeli sebuah kondo pada harga RM100 juta sekalipun, bukan sahaja tidak mengapa tetapi ia keputusan perniagaan yang bijak.
Tanya sahaja kepada pakar hartanah di Kuala Lumpur (terutama di Bangsar) dan mereka sedia menjelaskan bagaimana harga kondo mewah boleh meningkat dalam masa cepat. Ini sudah tentulah lebih baik dari memerapkan wang yang dipinjamkan oleh kerajaan di dalam akaun semasa NFC atau melabur dalam simpanan tetap yang pulangannya tak seberapa.-Sinar Harian

No comments:

Post a Comment